Pelabuhan dinaik taraf
Pelabuhan dinaik taraf

MELAKA 1 Dis. - Kerajaan negeri akan membina sebuah pelabuhan baharu dikenali sebagai Taman Perindustrian Maritim Melaka (IMP) berhampiran Dataran 1Malaysia Klebang, dekat sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, IMP yang akan dibina tidak lama lagi itu dilengkapi pelbagai infrastruktur moden dan disasarkan menjadi antara pelabuhan antarabangsa yang mampu mengatasi pelabuhan di Singapura.

Menurutnya, pelabuhan baharu itu juga dijangka menjadi antara pelabuhan termaju di negara ini bersandarkan sejarah Melaka yang suatu ketika dahulu menjadi pelabuhan terpenting di rantau ini.

“Di samping membina IMP di Klebang, kerajaan negeri juga akan menaik taraf beberapa pelabuhan sedia ada di negeri ini menjadi pelabuhan moden dan canggih yang mampu menarik ramai pelancong,”

Datuk Seri Idris Haron

Idris berkata, antara pelabuhan yang akan dinaik taraf ialah di Kuala Linggi bagi menyediakan perkhidmatan perkapalan, pelabuhan Kem Terendak pula kekal sebagai pusat latihan tentera dan di Sungai Rambai akan menjadi tempat pendaratan pasir bagi pembinaan kilang kaca di Lipat Kajang, Jasin

Menurutnya, pelabuhan Sungai Udang pula akan kekal sebagai hab perkhidmatan minyak dan gas, Tanjung Beruas dekat Tanjong Kling pula bakal berubah wajah menjadi pelabuhan antarabangsa dan Muara Sungai Melaka di Bandar Hilir menjadi pelabuhan pelancongan.

“Pelabuhan di Umbai, Serkam dan Sebatu pula akan dinaiktaraf dengan pelbagai kemudahan untuk dijadikan lokasi pendaratan ikan”

Datuk Seri Idris Haron