Pelabuhan Tanjung Bruas dibangunkan Secara Komersial
Pelabuhan Tanjung Bruas dibangunkan Secara Komersial

PELABUHAN Tanjung Bruas akan dibangunkan secara komersial seperti dalam perjanjian konsesi yang ditandatangani Syarikat Tanjung Bruas Sdn Bhd dengan kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan akan melibatkan nilai pelaburan tidak kurang RM160 juta.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata tiga pelan pembangunan Pelabuhan Tanjung Bruas telah dirangka bagi menjadikan pelabuhan itu setaraf dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Klang pada masa hadapan.

Beliau berkata inisiatif pembangunan pelabuhan itu merangkumi pelan pembangunan jangka sederhana (2016-2017) terdiri daripada inovasi bangunan pentadbiran sedia ada, inovasi bangunan gudang dan pembinaan laman terbuka.

“Bagi pelan pembangunan dari 2018 hingga 2019, pembinaan pintu masuk baharu pelabuhan melibatkan empat lorong, Kompleks Imigresen, pusat pemeriksaan Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dan rangkaian laluan pejalan kaki telah siap dibina serta pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) telahpun siap.”

Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) yang ingin tahu usaha atau perancangan Kerajaan Negeri Melaka untuk menjadikan Pelabuhan Tanjung Bruas sebagai pelabuhan terulung negara menyaingi Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Klang.

Mengulas lanjut, Mohd Rafiq berkata kerja menaik taraf jeti dan membaik pulih struktur jambatan serta lampu telah siap manakala pemanjangan jeti masih menunggu proses kelulusan.

Beliau berkata pembinaan jeti Roll on-Roll off (RoRo) juga dalam proses kelulusan manakala pembinaan kawasan penyimpanan pemunggahan kontena dalam tempoh pelaksanaan.

Katanya di bawah pelan pembangunan 2020-2022, ia melibatkan skop kerja seperti penambakan laut melibatkan keluasan kira-kira enam hektar di kawasan sekitar pelabuhan itu, pemanjangan dan pembinaan jeti baharu, pembinaan jambatan baharu serta pembinaan kawasan kontena.

“Apabila semua pelan pembangunan ini siap dilaksanakan, maka Pelabuhan Tanjung Bruas akan menjadi pelabuhan serba guna yang boleh mengendalikan kargo pukal, pecah pukal dan cecair, berfungsi sebagai RoRo, kontena dan kawasan simpanan atau pemunggahan untuk kontena dan kargo lain.”

Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen

Selain itu, beliau berkata pihak pelabuhan juga telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Pelabuhan Tanjung Bruas terus ke Lebuh Raya SPA (Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh) dan kawasan perundustrian utama di negeri itu.

Katanya sekiranya projek itu mendapat kelulusan, isu kesesakan dan keselamatan yang dibangkitkan di sekitar kawasan pelabuhan tersebut akan dapat diatasi sewajarnya sekali gus memastikan Pelabuhan Tanjung Bruas lebih berdaya maju. -Bernama

 

Isnin, 15 Julai 2019

Sumber: Bisnes Sinar.