Fasa Kedua Pelepasan Barangan Bukan Keperluan Asas di Pelabuhan Pelabuhan Utama Negara
Fasa Kedua Pelepasan Barangan Bukan Keperluan Asas di Pelabuhan Pelabuhan Utama Negara

Selepas mengadakan konsultasi bersama Majlis Keselamatan negara(MKN), Kementerian Pengangkutan Malaysia(MOT) telah bersetuju menambah empat(4) hari lagi bagi mempercepatkan kerja-kerja perlepasan kargo yang bertujuan mengelakkan kesesakan di pelabuhan-pelabuhan utama negara, bermula Sabtu, 4 April 2020.

Syarikat-syarikat yang menyimpan kargo mereka di Pelabuhan Klang, Johor, Pulau Pinang, Kuantan, Melaka, Bintulu, Sarawak dan Padang Besar yang bersempadan dengan Thailand digesa supaya segera memindahkan barang bukan keperluan asas mereka keluar daripada pelabuhan mulai hari Sabtu, 4 April 2020 hingga Selasa, 7 April 2020.

Sepertimana keputusan terdahulu yang dibuat pada 26 Mac 2020, usaha ini terbukti berkesan mengurangkan kesesakan di pelabuah-pelabuhan utama negara yang telah mencecah ruang kapasiti hampir 100%

Walau bagaimanapun, untuk memastikan pergerakan yang lebih lancar dan terus memenuhi kerpluan harian yang sangat diperlukan untuk isi rumah, kerja-kerja pelepasan barang bukan keperluan asas di pelabuhan-pelabuhan utama negara ini perlu dipercepatkan dan perkembangannya akan dipantau dari semasa ke semasa

Ia juga bagi memastikan pembekalan barangan keperluan asas kepada rakyat tidak terbantut sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) Fasa Kedua yang dikuatkuasakan mulai 1-14 April 2020.

Melihat kepada respon positif kepada keputusan Kementerian, pelabuhan-pelabuhan milik kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak juga telah membuat tindakan sama dengan membenarkan pelepasan barangan di pelabuhan-pelabuhan mereka sekaligus dapat mengurangkan kesesakan. Kementerian Pengangkutan telah pun berkongsi prosedur operasi standard(SOP) kepada pengendali-pengendali pelabuhan yang memohonya sebelum ini termasuk negara-negara lain.

Langkah-langkah pelepasan barangan ini juga selari dengan Peraturan-Peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988(Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.2) 2020 yang berkuatkuasa sepanjang tempoh PKP Fasa Kedua dari 1-14 April 2020.

Selaras dengan pindaan yang telah dibuat terhadap Jadual Peraturan-Peraturan No.2, perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan dan lapangan terbang serta pengangkutan melalui darat, air atau udara adalah merupakan suatu perkhidmatan perlu. Ini bermakna segala aktiviti serta proses dalam penyampaian perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan dan lapangan terbang serta pengangkutan darat, air dan udara adalah turut terjumlah sebagai perkhidmatan perlu.

 

Jumaat, 3 April 2020

Sumber: Kementerian Pengangkutan Malaysia.