Pelabuhan Tanjung Bruas setaraf Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas
Pelabuhan Tanjung Bruas setaraf Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas

AYER KEROH : Pelabuhan Tanjung Bruas bakal dibangunkan dengan nilai pelaburan RM160juta, setaraf dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Klang.

EXCO Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata tiga pelan bagi membangunkan Pelabuhan Tanjung Bruas secara komersial itu dimeterai melalui perjanjian konsesi, Syarikat Tanjung Bruas Sdn Bhd dan Kementerian Pengangkutan sebelum ini.

“Inisiatif pembangunan pelabuhan itu merangkumi pelan pembangunan segera pada 2016 hingga 2017 meliputi inovasi bangunan pentadbiran sedia ada, bangunan gudang dan pembinaan dermaga.”

Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen

“Bagi pelan pembangunan ‘near term’ daripada 2018 hingga 2019, iaitu pembinaan pintu masuk baharu pelabuhan membabitkan empat lorong; Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS); ‘interlocking pavement’; serta Kompleks Kuarantin, Kastam, dan Imigresen (CIQ) siap dibina.”

Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen

Beliau berkata, demikian menjawab soalan bertulis Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) berhubung perancangan kerajaan negeri mengenai Pelabuhan Tanjung Bruas, pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14, di Seri Negeri, di sini.

Mohd Rafiq (PH-Paya Rumput) berkata, usaha menaik taraf jeti dan membaik pulih struktur jambatan serta lampu juga sudah dilakukan di bawah pelan jangka pendek, manakala pemanjangan jeti masih menunggu proses kelulusan.

Beliau berkata, pembinaan jeti’Roll on-Roll off’ (RoRo) juga masih dalam proses kelulusan manakala pembinaan kawasan penyimpanan pemunggahan kontena dalam tempoh pelaksanaan.

Katanya, di bawah pelan pembangunan jangka pertengahan 2020-2022), ia membabitkan skop kerja seperti penambakan laut membabitkan keluasan enam hektar sekitar pelabuhan, pemanjangan dan pembinaan jeti serta jambatan baharu selain pembinaan kontena.

“Apabila semua pelan pembangunan ini siap dilaksanakan, maka Pelabuhan Tanjung Bruas akan menjadi pelabuhan serba guna yang boleh mengendalikan kargo pukal, pecah pukal dan cecair, berfungsi sebagai RoRo, kontena dan kawasan simpanan atau pemunggahan untuk kontena dan kargo lain.”

Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen

Selain itu, beliau berkata, pihak pelabuhan juga mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Pelabuhan Tanjung Bruas terus ke Lebuh Raya SPA (Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh) dan kawasan perindustrian utama di negeri itu.

Katanya, sekiranya cadangan itu diluluskan, isu kesesakan dan keselamatan yang dibangkitkan di sekitar pelabuhan itu akan dapat ditangani.

 

Isnin, 15 Julai 2019

Sumber: Berita Harian.